Tuesday, April 24, 2012

Hamba



Tingkatkanlah pengetahuanmu sampai engkau dapat mengenal, menemui seorang hamba dan seterusnya sampai engkau menjadi seorang hamba. Seorang hamba tidak mementingkan dirinya sendiri, melainkan mementingkan yang di luar dari dirinya lebih dahulu.

Baginya rezeki mendatang; air hampir, makanan murah. Hamba yang dimaksudkan ialah hamba Allah yang kerjanya sentiasa menghamba kepada Allah, mengabdi kepada Yang Maha Kuasa dan dilindungi oleh Yang Maha Besar.

Pekerjaannya bukan menghamba kepada sesama manusia, kerana orang yang menghamba kepada sesama manusia adalah orang yang merendahkan harga dirinya sendiri. Dan tepatlah kalau dinamakan orang itu budak yang diperbudak oleh sesama manusia, lantaran mengharapkan belas kasihan sang majikan atau untuk mendapatkan yang diinginkan dari seseorang. Perjalanan seorang manusia berlainan dengan perjalanan seorang hamba. Sebagai seorang manusia biasa, itu harus banyak belajar untuk dapat banyak mengetahui supaya boleh selamat menjalankan kehidupan dunia dan akhirat. Seorang hamba berjalan pada jalannya sendiri, yang jalan itu ada padanya. Dia berjalan dengan sesuatu untuk sesuatu dan menghasilkan sesuatu. Orang yang seperti itu, padanya ada garis hidup yang akan ditempuhnya, yang kadang-kadang hasilnya berlainan dengan kemahuan orang banyak dan kadang-kadang pula pekerjaannya tak makan di akal dan tak terpecahkan oleh otak. Dan tempoh-tempoh, hasilnya mengagumkan dan menghairankan lantaran keanehannya. Aneh tetapi benar kerana garis hidup yang ditempuhnya berasal dari Yang Maha Benar.

Pernahkah engkau memperhatikan perjalananmu sendiri di dalam batang tubuhmu suatu perjalanan yang bagi kamu yang di luar tidak dapat menguasainya? Dan dapatkah engkau mengetahui di mana batasnya perjalananmu yang di dalam itu? Dan di mana tempatmu sebenarnya? Cubalah renungkan.

Hamba ada padamu. Budak ada padamu. Dan raja pun ada padamu. Kamu menjadi raja pada dirimu sendiri, menjadi budak pada dirimu sendiri dan hambamu akan menjadi seorang hamba Allah sekiranya engkau dapat menemui hamba.

Nabi Musa mendapat petunjuk dari Tuhan untuk mencari dan menemui seorang hamba Allah yang mendapat pelajaran ilmu pengetahuan dariNya. Ia, sebagai seorang manusia dengan pangkat kerasulannya berjalan mencari hamba Allah tersebut, menuju ke tempat yang ditunjukkan Tuhan dengan tanda-tandanya. Maka ditemuinyalah hamba Allah tersebut di pertemuan permukaan dua laut. Dan belajarlah Nabi Musa kepadanya. Dan itulah dia hamba Allah, yang telah dikurniakan Tuhan, Rahman (sifat pemurah) dan yang telah diajarkan ilmu pengetahuan kepadanya. (Surah al-Kahfi Ayat 60-82).

Sebagai seorang manusia, kita harus banyak belajar untuk dapat banyak mengetahui, guna dipergunakan buat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Seorang hamba Allah, ada yang mengajarnya. Kewajipannya ialah menurutkan jalannya garis hidup yang telah ada padanya yang kegunaannya untuk kebaikan jalan kehidupannya dunia akhirat. Jalannya berisi, berpetunjuk, tidak dimurkai dan tiada pula sesat.

Seorang hamba Allah yang musafir, kerjanya ialah berjalan terus; berbuat dan berlaku dengan sesuatu untuk sesuatu. Dia duduk di tempatnya. Tempatnya di dalam, tetapi dia keluar. Walaupun hamba duduk, tetapi hamba berjalan. Bagi hamba tiada erti kata lelah. Siang dan malam bagi hamba sama sahaja. Hamba tidak mengenal mati kerana hamba hidup. Yang mati bagi hamba ialah orang. Banyak orang tak mengenal hamba. Dan perbuatan seorang hamba tak dapat banyak orang mengetahuinya kecuali orang yang terdekat padanya dan orang-orang yang sering mendampinginya.

Saya lebih suka menjadi seorang hamba dengan tahu jalannya daripada menjadi seorang raja yang sering lupa di dirinya. Seorang hamba yang telah ada mempunyai pegangan hidup, iaitu yang padanya ada jalan sendiri yang akan ditempuhnya untuk kebahagiaannya, tidak boleh menyimpang dari jalan yang telah ada baginya atau dibawakannya.

Suatu kesalahan besar jika terjadi hamba berjalan di luar garis hidup yang akan dibawakannya. Lain orang, iaitu yang harus belajar lebih dahulu untuk menempuh jalannya kehidupan, dan suatu kesalahan pula pada orang kalau dia lupa kepada dirinya.

Sebaik-baik hamba ialah seorang hamba yang soleh. Hamba yang musafir, kerjanya ialah berjalan dan berjalan terus dengan sesuatu untuk sesuatu. Walaupun nampaknya duduk, tetapi dia berjalan terus. Jalannya ada padanya dan tak dapat banyak orang mengetahuinya. Sedekat-dekat orang padanya, paling dapat orang merasakannya. Banyak sudah hamba sebelum hamba dan akan muncul pula seorang hamba sesudah hamba.

Hamba adalah seorang musafir yang sentiasa dalam pengembaraan; pulang dan pergi ke sana dan ke sini, keluar dan masuk. Jalan hamba jalan kiri, jalan kanan, jalan hidup, jalan mati, mematikan dan menghidupkan, jalan tengah, jalan positif, jalan negatif dan jalan neutral (tidak berpihak). Dan kesimpulan dari seluruh perjalanan hamba, seperti telah dihuraikan pada perjalananku yang sudah-sudahnya, tetapi apa yang dinamakan 'Perjalanan Balik Batang.'

Orang boleh mempercayainya atau tidak. Itu terserah, tetapi hamba mengatakan kata benar kerana itulah yang ada pada hamba. Apa yang ada pada hamba? Yang ada pada hamba ialah jalan; jalan untuk mencapai tujuan yang terdiri dari jalan kiri, jalan kanan dan jalan tengah. Dengannya hamba hidup dan mati, ke luar dan ke dalam, pergi dan kembali, memberi dan menerima, berlaku dan berbuat. Hamba keluar-masuk, datang dan pergi, mengaliri dan mengisi. Jalan hamba jalan lurus. Hamba ke kiri pada jalannya dan ke kanan pada jalannya.

Orang yang tidak dan belum mengenal hamba tentu lain pandangannya pada hamba. Orang yang dekat pada hamba akan mengatakan hamba bodoh atau keterlaluan sabar kerana dalam banyak hal banyak mengalah dan mendahulukan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri. Ya, memang begitulah hendaknya seorang hamba, dan ketahuilah bahawa apa yang telah hamba perbuat dan lakukan itu ialah tidak menyimpang dari perjalanan yang ada pada hamba. Pada waktu suka dan duka, sakit dan senang, hamba tidak akan meninggalkan jalan yang telah ada pada hamba itu. Dengan meninggalkan bererti tidak berjalan pada jalannya. Mempergunakan jalan lain bererti menyimpang dari jalan yang telah ada ketentuan baginya.

Dan itulah dia seorang hamba, yang padanya telah ada jalan. Dari hamba kepada seorang hamba dan dari seorang hamba kepada hamba.

Kembali..

Salam kepada para pembaca yang dihormati. Nampaknya blog saya telah lama bersarang. InsyaAllah dengan "kembali versi baru" ini, diharap dengan izin Allah dapatlah saya meneruskan berkongsi dengan kalian tentang apa sahaja yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Beberapa sebab kenapa sudah lama tidak update blog adalah kerana baru berumahtangga (tidaklah baru, penghujung tahun 2010 yang lalu).

Tapi tujuan yang utama adalah kerana sesuatu ilmu yang menurut alam fikiran akan sampai kepada perbatasannya. Fikiran akan menurut logik, bagaimana pula apabila membicarakan sesuatu yang ghaib dan maha ghaib? Pada tahap inilah fikiran akan ditinggalkan dan hati pula menjadi panduan dan petunjuk menuju ke hadratNYA. Seeloknya sesuatu majlis ilmu harus berhadapan di antara satu sama lain kerana dikhuatiri jika dilanjutkan perkongsian ilmu, maka penghujungnya akan tetap berlegar pada huruf, qalam, ayat dan kisah. Tidak ada 'jalan keluar' yang sepatutnya. Tambahan pula, alam fikiran menjadi panduan, akhirnya khayalan yang datang menerjah.

InsyaAllah, InsyaAllah, InsyaAllah.... segala-galaNYA HAQ Allah SWT.

Friday, September 10, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431H


Salam, di kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431H kepada semua pembaca blog ini yang saya kasihi. Saya juga dengan ikhlas hati memohon ampun dan maaf jika ada keterlanjuran bahasa.

Akan bersambung lagi selepas Raya....pesanan saya, berhati-hati di jalanraya. Ingatlah orang yang tersayang. Jangan lupa bahawa orang yang kita kasihi juga merupakan penumpang kenderaan kita. Yang menunggu di kampung juga adalah orang yang kita kasihi dan mereka juga mengasihi kita. Takkan lari kampung dikejar...pandulah kenderaan dengan penuh berhemat..Wassalam..
Related Posts with Thumbnails